"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)"
Kerja, kerja, dan kerja. Aku bosan dengan semua ini.", getus hati kecil Izhar yang merasakan hidupnya sekarang sunyi dan sepi.
Izhar merupakan seorang peguam di mahkamah syariah dan bertugas sebagai seorang pendakwa raya.
"Hari-hari berhadapan dengan kes-kes penceraian, khalwat…", bagaikan  tertekan dengan kesibukan kerjayanya sehingga diri sendiri seakan tidak  terurus.
"Hidup bersahabat memang berbeza dengan hidup berteman...", tiba-tiba  sahaja tersentuh hati Izhar untuk mencari pasangan setelah sekian lama  dia hidup bersendirian.
Dengan ini, bermulalah kisah Si Ustaz dalam mencari pasangan  hidupnya. Dengan langkahnya pertama, usaha Izhar telah bertemu dengan  seorang gadis. Namanya Alfatunnisa'. Cantikkan namanya, begitulah juga  parasnya, secantik namanya. Gadis ini adalah rakan sekampus kawan Izhar  semasa menuntut di Jepun dahulu.
Alfatunnisa' adalah anak orang ternama, anak Tan Sri Ahmad. Gugup  juga Izhar apabila hendak berhadapan dengan Tan Sri. Tetapi itu dulu,  sebelum Izhar kenal dengan Tan Sri. Sekarang hubungan mereka nampaknya  sudah rapat seperti saudara sendiri. Mungkin itulah yang dikatakan  jodoh. Sebenarnya perkenalan dengan gadis ni bukanlah lama, sekejap  saja. Mereka memang merancang untuk mendirikan rumahtangga bersama namun  semakin lama dikenali, gadis itu seakan sudah banyak berubah.
"Mungkin ini bukan jodohku, aku tak tahu erti cinta...adakah aku  tertarik padanya ataupun pada hartanya...Nauzubillah, ya  Allah..selamatkan diriku daripada godaan syaitan...", hati Izhar  berbisik dan berdoa sendirian.
Pada langkah pertama, Izhar gagal menemui cinta hatinya. Pencarian  Izhar tidak berakhir hanya di situ. Akhirnya semasa menguruskan kes anak  guamannya, Izhar tertarik pula dengan anak kepada anak guamannya.  Surina namanya, berasal daripada keluarga yang sederhana, Orangnya bijak  bekata-kata. Akhirnya Izhar terpancing jua. Sesungguhnya Allah  mengetahui segala-galanya.
Pada suatu hari, Izhar terserempak dengan Surina di salah satu pasar  raya berdekatan bersama seorang jejaka, mesra sekali lagak mereka.  Setelah disiasat, sungguh tidak disangka-sangka bahawa Surina yang  sangat petah dan bijak berkata-kata selama ni sanggup berdusta dan  mengambil kesempatan. Surina sebenarnya bekerja di kelab malam.
"Astaghfirullahal azim.. Alhamdulilah, daku bersyukur padamu ya  Rabbi, Engkau menyelamatkanku daripada segala bencana, sekiranya aku  berkahwin dengan keturunan seperti ini, amatlah pedih untuk aku melalui  sisa-sisa hidup ini…", syukur Izhar atas segala petunjuk daripadaNya.
Setelah kecewa dengan gelagat cinta yang baru ditemui itu, Izhar  sepertinya sudah putus harapan. Bagi Izhar, biarlah masa yang menentukan  kerana dia yakin akan ketentuan Allah.
Bulan silih berganti, hari demi hari, putaran jam meninggalkan  masa-masa yang lalu. Izhar semakin sibuk dengan menguruskan firmanya.  Suatu hari, Izhar menghadiri mesyuarat untuk satu program yang  disertainya, program "Selamatkan Jiwa". Mesyuarat pada hari itu pula  melibatkan seluruh mahkamah syari'ah di kawasan tersebut. Dalam kalangan  ahli jawatankuasa yang datang, Izhar terpandang ke arah seorang wanita  yang dirasakan amat berbeza dengan wanita-wanira lain. Sangat pendiam  orangnya.
Diam-diam ubi berisi, namun apabila melontarkan idea, cukup bernas!  Memang cantik orangnya. Sopan dan berjubah adalah penampilan yang  dipilih. Tidak hairanlah kerana gadis ini merupakan alumni Universiti  Al-Azhar, dan ayahnya adalah imam di kampungnya. Izhar akhirnya  mengambil kata putus untuk menulis sepucuk surat untuk menyatakan isi  hatinya.
Salam perkenalan buat saudari Sa'adatul Sakinah...
Dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, saya meminta izin daripada  saudari untuk mengenali dengan lebih dekat lagi. Saya amat tertarik  dengan saudari, pandangan mata yang penuh keihklasan melontarkan  idea-idea yang bernas untuk melakukan kebajikan di jalan Allah. Mungkin  Allah telah mempertemukan kita, dalam situasi yang sama.
Dirimu yang sempurna, memperjuangkan kalimah suci Allah membuatkan  saya tertarik dengan saudari. Tidak sepertimana perempuan-perempuan di  luar sana yang pernah saya kenali. Andainya diri tidak berpunya, izinkan  saya untuk melamar awak sebagai isteri saya yang sah.
Ikhlas, Izhar... 
Wassalam saudaraku Muhd Izhar...
Buat saudara yang baru ku kenali, sesungguhnya pertemuan dan  perpisahan adalah milik Allah, Dialah yang berhak mengaturkan segalanya.  Sudi-sudikanlah menghayati nota-nota yang ku tulis buatmu...
Wahai saudaraku...Cinta pertama mengukir peristiwa, menguggat  pelbagai perkara. Ketahuilah saudara, jangan mempercayai pada pandangan  mata, ia hanya pandangan syaitan durjana. Usah memujiku lebih darinya,  kiranya diri ini masih kurang seadanya, idea hanyalah pandangan manusia,  belum tentu betul pada pandangan yang Esa. Sempurnaku tak sempurna  Nabiku, kerana aku hanya manusia biasa, dan ketahuilah sahabat, manusia  tidak akan pernah sempurna.
Wahai saudaraku...janganlah kau membanding-bandingkan diriku dengan  insan lain, sesungguhnya Allah tidak menyukai hambaNya mempersoal  mengenai keburukan mereka. Kiranya engkau membenci kemaksiatan, tugasmu  adalah membawa mereka berhijrah dan tidak sesekali berhujah untuk  menyemarakkan lagi hati mereka.
Kirannya aku jatuh cinta padamu, itu kerana aku jatuh cinta pada  kesederhanaanmu, dan kiranya aku membenci dirimu, tidak bermakna aku  membenci dirmu, tetapi aku membenci egomu. ingatlah wahai Adam, manusia  adalah sama, hiris tangan, pastinya darah yang mengalir adalah merah.  Hanya Allah yang dapat membezakan hambanya, dan kita sebagai hamba tidak  layak untuk membuat penilaian.
Andainya kamu mencintaiku kerana Allah yang maha  Pencipta..Sesungguhnya aku belum berpunya, diriku hanyalah untuk Dia.  Aku menerima lamaranmu dengan hati yang terbuka, Kiranya ini menambahkan  ketaqwaanku padaNya. Inilah nota-nota cintaku buatmu lelaki yang akan  bergelar suami…
"Astaghfirullahal 'azim... Astaghfirullahal ‘azim… Astaghfirullahal  ‘azim… Ampunkan dosaku ya Allah. Sesungguhnya selama ini aku telah tewas  dalam permainan cinta. Terlampau mengejar cinta, aku telah melakukan  dosa pada mereka. Sesungguhnya diriku kerdil di hadapanMu ya Rabbi. Aku  sememangnya tidak layak untuk menghukum manusia, sesungguhnya aku  seorang hamba seperti mereka..", doa Izhar selepas menunaikan solat  tahajjudnya.
Izhar kini bersyukur kerana telah dikurniakan oleh Allah seorang  isteri yang solehah, mampu memandu hidupnya dan saling melengkapi dan  memperbaiki dalam kesilapan masing-masing. Dia tersedar akan  kesilapannya terhadap Surina dan Alfatunnisa yang gagal menemukan mereka  kepada kebenaran.
Yakinlah bahawa sesungguhnya jodoh itu rahsia Allah dan masanya pasti akan tiba...

 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar